Home Blog Services About Free Audit

[ Hotel Review ] Emilia Hotel By Amazing, Palembang



Emilia Hotel di Palembang, Indonesia ini merupakan sebuah lagi hotel yang di kelokakan oleh Amazing Hotel Management dan ia bertaraf 3 Bintang.

Baru – baru ini, berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman menginap disini selama 3 malam dan secara keseluruhannya, memang berpuas hati dengan layanan yang diterima sepanjang berada disini.



Untuk trip ke Palembang kali ini, aku mendapat jemputan pihak Tourism Palembang untuk ke acara FAMTrip Musi &Beyond dan acara kemuncaknya merupakan sambutan Chap Go Meh di Pulau Kemaro.

Sebelum kita ke review penuh hotel, aku nak share sikit berkenaan Palembang ni dan destinasi menarik percutian ke Palembang secara umum.



Kota Palembang ni terletak di Sumatra Selatan dan ia adalah kota kedua terbesar di Sumatra selepas Medan. Dianggarkan, pada tahun ini; Palembang yang mempunyai luas wilayah sebesar 400,61 kilometer ini mempunyai penduduk seramai 2.5 juta orang dan majoritinya beragama Islam.

Masjid Cheng Ho


Kalau korang rajin mengkaji, atau dengar melalui sejarah, Palembang merupakan salah satu kerajaan kesultanan melayu yang sentiasa disebut dan ia pernah menjadi ibu kota Sriwijaya yang merupakan kerajaan melayu yang pernah memerintah sebahagian dari Nusantara dan disebut juga ia pernah mendominasi laluan perdagangan di Selat Melaka.

Dari segi Tarikan Menarik di Palembang, ada 75 destinasi menarik dan ikon pelancongan di Palembang dan ia boleh dipecahkan kepada 3 komponen iaitu tradisi, kesenian dan sejarah, makanan dan alam sekitar atau nature.

Semasa 4 hari di Palembang tempoh hari, aku bermalam di Emilia Hotel yang terletak di kawasan Bukit Kecil, Kota Palembang. Kalau nak diikutkan, ia boleh dikatakan ‘centre’ juga untuk ke destinasi lain. Antara tarikan yang terdekat ialah Jembatan AMPERA, Kuto Besak dan lain – lain lagi.



Macam yang aku cakap tadi, Emilia Hotel Palembang merupakan hotel yang diuruskan oleh Amazing Hotel dan ia bertaraf 3 bintang. Dari segi lokasi, ia terletak di sebelah Pelambang Indah Mall dan dikelilingi oleh banyak bangunan komersil, bangunan kerajaan dan sudah tentu sebelah pusat membeli belah.



Info Ringkas Hotel :

Emilia Hotel by Amazing Palembang
Jl. Letkol Iskandar No.18, 24 Ilir, Kec. Bukit Kecil, Kota Palembang, Sumatera Selatan 30113, Indonesia

Akomodasi :

3 jenis pilihan bilih iaitu Superior, Deluxe dan Executive Suite dan secara total, ada 115 buah bilik kesemuanya disini.



Bilik Superior dilengkapi dengan dua buah katil single, tv dan lain – lain kemudahan asas pada hotel. Harga bermula dari IDR 575,000 (RM173+/-). Bilik Deluxe pula ada sebuah katil bersaiz King dan harga bermula pada IDR 675,000 (RM203+/-) manakala Suite di Emilia ini bermula dengan harga IDR 1,300,000 (RM390+/-).

3 malam disini, aku menginap di bilik basic iaitu Superior room. Ini biliknya…



Jom kita tengok kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Emilia Hotel Palembang ini pula.

Perkhidmatan :
Servis Penghantaran Tetamu (Limo)
Internet Berkelajuan Tinggi
Dobi
Lawatan Sight Seeing

Kemudahan :
Bilik Meeting
Restoran yang menyediakan masakan tempatan dan masakan Indonesia yang boleh memuatkan sehingga 100 orang tetamu.
Gym

Pengalaman Bermalam

Secara keseluruhan, aku berpuas hati dengan penginapan yang diberikan dan disediakan dan review ini adalah review jujur aku dan pengalaman aku sepanjang berada di sana.

Seperti biasa, aku akan menggunakan kriteria – kriteria yang aku gunakan untuk menilai sesuatu hotel iaitu Hotel, Lokasi dan Tarikan, Pengalaman Bermalam dan Value For Money.

Macam biasa; markah penuh untuk setiap kategori adalah 10 dan ini berdasarkan pengalaman aku sendiri berada di sana selama 4 hari 3 malam.

Hotel – 8/10

Seperti kebiasaan, aku akan google dulu setiap hotel yang diberikan terlebih awal untuk mendapatkan jangkaan awal bagaimana rupa dan keadaan hotel ini nanti.



Kalau dari bahagian depan, premis atau kawasan ini, korang tak akan jangka yang dibelakangnya ada sebuah hotel kerana boleh dikatakan ianya agak tersorok ke belakang dan bangunan depannya adalah sebuah bangunan tinggal dan macam aku cakap tadi, ia terletak di sebelah shopping mall.


Memasuki hotel, anda akan disambut dengan lobi yang cantik dan dari segi rekaan dalaman hotel ini ia mengetengahkan konsep klasik dan moden dan mempunyai 5 aras yang mana aras bawah (Ground) menempatkan lobi dan restoran dan bilik bermula dari aras 2 hingga 5.

Kemudahan gymnasium ada di lantai 2 dan sekali imbas, ia mempunyai kemudahan yang agak lengkap dan kalau tak salah, masa aku stay disini, hotel ini turut dijadikan penginapan pemain bola tampar professional Indonesia dan diorang ada menggunakan gym berkenaan untuk indoor training.

Pengalaman Bermalam / Tidur  – 9/10



Bahagian pengalaman bermalam ini pada aku aspek paling penting dalam memilih penginapan dan bilik hotel. Sebab biasanya, aku akan request bilik paling hujung. Sebabnya, dari segi kedudukan, biasanya ia lebih terpencil, sunyi dan ada bilik yang saiznya lebih besar bila terletak di hujung.

Di Emilia ni, pengalaman bermalamnya boleh dikatakan sangat memuaskan. Cuma ada beberapa kekurangan yang pada aku kalau ditambah, pastinya sempurna. Sebagai contoh, ia tidak menyediakan setereka dan bila ada majlis rasmi yang memerlukan kau berpakaian kemas, ini salah satu point yang amat penting. Tapi, ada disediakan perkhidmatan menggosok pakaian, tapi biasa lah, berbayar.

Tidur.

Untuk susun atur bilik ni, sama macam hotel lainnya dan bilik aku menghadap jalan dan agak bernasib baik disebabkan ia agak kebelakang dari jalan utama, jadi kereta lalu-lalang tidak kedengaran sangat dan tidur kau tidak terganggu.

Waktu pagi, well… Walaupun bilik hujung, aku masih boleh dengar jeritan budak – budak dan suara mak bapak memarahi anak diorang yang menjerit waktu pagi di depan bilik orang lain di hotel. Hahaha. Selain itu, disebabkan ia terletak sebelah gim, kadang – kadang boleh dengar la orang bising dan lalu lalang nak ke gim tersebut.

Lokasi dan Tarikan – 10/10

Ini aku tak boleh nak argue lebih, aku berikan markah penuh disebabkan pada aku, ia memenuhi kriteria ‘lokasi’ yang aku maksudkan.

Untuk ke Indomaret (ala – ala 7 eleven), hanya sekitar 200 meter, ada atm machine jugak disebelahnya kalau tak silap aku.

Sebelah hotel, ada mall dan mall ini ada outlet makanan sepert Starbucks dan lain – lain. Jadi, kalau kata korang nak mengopi, boleh ke starbucks selain ada juga yang korang boleh pesan dari restoran di hotel.

Oh, Gojek dan Grab juga bersepah disini. Nak kemana – mana, aku gunakan Grab atau Gojek. Ada sekali tu, aku terlepas breakfast, dan order dari GoFood aje.

Value For Money – 8/10

Kenapa 8 per 10? Sebab pada aku, ianya terlalu mahal untuk hotel bertaraf 3 bintang, namun ia masuh dalam kategori berbaloi kerana hotel ini hiasan dalamannya sangat cantik dan terasa ‘classy’. Jadi, ia bukan macam hotel 3 bintang lain.



Kekurangan disini, mungkin ia mendapat status tersebut sebab tiada kolam renang dan menu buffet pagi yang pada aku, boleh diperbaiki dan lebih sedap lagi. Aku cuba beberapa masakan ‘specialty’ Palembang yang disediakan, dan aku merasakan ada kekurangan disitu.

Secara keseluruhan; Emila Hotel by Amazing Palembang ini mendapat 35 /40 dan pada aku, ia masih dalam kalangan hotel yang ‘worth-it’ untuk korang cuba bila ada di Palembang.

Emilia Hotel by Amazing Palembang
Jl. Letkol Iskandar No.18, 24 Ilir, Kec. Bukit Kecil, Kota Palembang, Sumatera Selatan 30113, Indonesia







Elak Ditipu Travel Agent Palsu! Gunakan 7 Cara Ini Untuk Kesan



Tahun 2020 ni, masih ada berita tentang travel agen atau agensi pelancongan palsu rupanya...

Kebiasaannya, banyak pakej – pakej percutian atau pakej mengerjakan umrah yang ditawarkan sama ada atas talian mahupun secara fizikal oleh pihak agensi pelancongan ataupun orang persendirian yang bekerja sebagai travel agen secara persendirian. 

Seperti kebiasaan, ramai akan membeli pakej yang disediakan hanya untuk merebut harga murah yang ditawarkan oleh agen atau syarikat ini, kadangkala kita terleka dan tidak perasan yang kita sebenarnya terjerat ataupun ditipu. 




Tak percaya? Hampir setiap tahun kita akan dapat berita Jemaah umrah ditipu, travel agen larikan duit, ataupun cerita rombongan terkandas di lapangan terbanga gara -gara ditipu.

Sebenarnya, untuk mengelakkan daripada ditipu agensi pelancongan palsu atau travel agen palsu ini; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ada meletakkan 7 garis panduan untu digunakan oleh orang ramai untuk kesan travel agen palsu. 


#1. Pastikan Agen / Syarikat Mempunyai Lesen Sah

Untuk mengelakkan diri anda ditipu, pastikan berurusan dengan agen atau syarikat yang berdaftar dan mempunyai lesen dengan MOTAC.
Syarikat yang menawarkan pakej percutian atau pakej umrah haruslah mempunyai lesen dan untuk memastikan kesahihan mereka, boleh rujuk kepada nombor lesen mereka. Contoh nomboer lesen :
KPL/LN 7017
Untuk semak, boleh ambil nombor belakang syarikat, atau nama syarikat dan lakukan pencarian di laman web MOTAC atau semak disini.
Nota Editor : Biasanya; agensi atau syarikat yang berdaftar dengan MOTAC akan ada nombor pendaftaran lesen, pelekat rasmi kerajaan dan sijil lesen mereka dari pihak kementerian.

#2. Pastikan Syarikat Wujud / Masih Aktif
Kadangkala, mungkin syarikat berkenaan telah ditamatkan lesennya atau tidak diperbaharui. Adakalanya ini disebabkan mereka ini melakukan kesalahan. Jadi, boleh semak status mereka di laman web MOTAC atau hubungi mana - mana pejabat MOTAC untuk mendapatkan status syarikat.

Selain laman web atau menerusi panggilan telefon, anda juga boleh rujuk kepada aplikasi MyMOTAC untuk senarai travel agen yang berdaftar dengan kementerian selain boleh merujuk rating sesebuah hotel.

#3. Info Pakej

Pastikan info pakej yang ditawarkan adalah lengkap. Sama ada pakej umrah mahupun pakej percutian, semak semua maklumat secara terperinci dan pastikan apa yang dimasukkan dalam tawaran mereka.
Perkara yang perlu diberi perhatian termasuklah; tiket penerbangan pergi dan balik, visa (sekiranya perlu), jenis dan lokasi penginapan yang ditawarkan, makanan (jika disediakan), itinerary penuh percutian / umrah, insurans dan dokumen perjalanan.

#4. Terma dan Syarat
Pastikan anda faham segala terma dan syarat untuk pakej percutian atau pakej umrah yang diambil. Perlu diingatkan supaya anda faham tanggungjawab pihak agen, jika pakej umrah; anda perlu tahu hak anda sebagai jemaah umrah dan jika pakej percutian anda pastikan anda tahu hak anda sebagai pelancong.

Selain itu, pastikan baca betul – betul terma dan syarat yang dikenakan terutamanya bahagian pembatalan dan pampasan sekiranya anda membatalkan atau meminta penukaran tarikh dan sebagainya.

#5. Pastikan Anda Berurusan Di Pejabat Agen

Sekiranya anda berpuas hati dan mahu melengkapkan tempahan dan pembelian pakej, pastikan anda melakukannya di pejabat travel agen tersebut. Ini secara tak langsung boleh mengelakkan anda menjadi mangsa scam.
Biasanya, mangsa yang ditipu oleh agen hanya membuat urusan diluar pejabat atau menerusi whatsapp sahaja atau melalui orang ketiga. Jadi, ini perlu dielakkan. Jika anda ragu – ragu dengan identiti agen, ambil nama, minta kad perniagaan dan sebagainya.

#6. Bayaran Dan Resit
Bayaran kebiasaannya boleh dilakukan kepada agen melalui wang tunai ataupun transaksi atas talian. Adalah WAJIB untuk mana – mana agensi untuk mengeluarkan resit pembayaran yang diterima. Pada resit, pastikan ditulis pembayaran untuk pakej mana dan sebagainya. Baik secara hard-copy, mahupun melalui email. 

Bayaran online haruslah dibuat terus ke akaun travel agensi dan bukan orang ketiga. Tidak kiralah cerita apa yang digunakan, pastikan terus lakukan pembayaran ke akaun agensi. Biasanya, kecurian, agen lari selepas duit masuk ke akaun mereka.
Simpan resit untuk rujukan.

#7. Selalu Follow Up

Walaupun agak leceh, pastikan anda sentiasa dapat hubungi pihak agen sehingga kesemua urusan selesai. Pastikan segala dokumen yang diperlukan seperti resit, tiket, tempahan hotel dan lain – lain berada pada anda sebelum anda terbang.
Ada beberapa kes yang berlaku, apabila pelanggan tiba di lokasi hotel, mereka mendakwa tidak menerima sebarang bayaran dari agen. Sudahnya, terpaksalah keluar duit untuk mencari hotel lain.
Akhir kata, penipuan atau scam oleh agensi pelancongan atau individu ini sememangnya wujud. Pastikan anda bukan salah seorang yang menjadi mangsa.