Sebut pasal penginapan, pastinya setiap orang ada cara atau pilihan masing-masing untuk menginap semasa travel. Sebagai salah satu perkara yang terpenting dalam merancang perjalanan, penginapan biasanya akan menelan belanja yang agak besar, bergantung kepada jenis penginapan yang dipilih.
Salah satu jenis penginapan yang ada ditawarkan di rata-rata destinasi adalah Airbnb.
Berkonsepkan menyewa bilik ataupun rumah pemilik, kini airbnb mempunyai sekitar 5.6 juta senarai penginapan untuk tetamu untuk disewakan bagi tempoh pendek ataupun sebagai alternatif yang lebih murah (kadangkala lagi mahal) daripada hotel.
Pun begitu, ada beberapa isu tentang keselamatan yang perlu diambil kira oleh tetamu lebih-lebih lagi bila menginap di penginapan jenis 'sewaan sementara' ni, baik airbnb, homestay persendirian dan sebagainya.
Perlu diingatkan, Airbnb bukanlah seperti hotel yang mana biasanya kita hanya berurusan melalui aplikasi sepenuhnya dan tidak mempunyai kawalan keselamatan, bergantung kepada lokasi dan rumah pemilik tersebut. Unit Airbnb ini juga tidak diawasi 24 jam sehari seperti mana hotel dan satu perkara penting yang ingin ditekankan, biasanya tidak ada pekerja mahupun pengurus unit berkenaan tinggal berdekatan.
Walaupun syarikat yang menawarkan penginapan jangka pendek ini saban tahun cuba untuk meningkatkan keselamatan mereka, kadangkala kita sendiri sebagai tetamu perlu peka dengan keadaan sekeliling dan faham risiko yang diambil sekiranya berhajat untuk menempah mana-mana penginapan berkonsepkan homestay dan airbnb ini.
Antara masalah yang biasa dihadapi tetamu ialah, keadaan rumah atau unit yang berbeza dengan gambar yang disediakan dalam aplikasi. Perkara ni pernah terjadi dekat diri sendiri, nasib baik masa tu sempat terfikir untuk amik gambar sebagai bukti, akhirnya refund berjaya didapatkan!
Menurut satu posting di Huffpost, pakar ada sarankan beberapa perkara yang boleh kita lakukan selepas check-in di mana-mana airbnb. Antaranya :
#1. Periksa Kewujudan Kamera
Polisi Airbnb melarang sama sekali pemasangan kamera tersorok ini dan memang tidak dibenarkan ada sebarang unit rakaman dalam ruangan privasi seperti bilik tidur dan tandas, tapi, ia dibenarkan di common area seperti ruang tamu, ruang makan dan lain-lain.
Sila perhatikan objek yang pelik dan periksa di tempat yang berkemungkinan dipasang kamera tersembunyi, misalnya di celahan aircond, alat pengesan asap, belakang cermin tandas dan lain-lain. Pakar sarankan korang guna pengesan wi-fi, biasanya segala peranti yang menggunakan wifi yang sama akan dipaparkan. Jadi, kalau ada yang mencurigakan, sila berhati-hati.
Selain tu, korang boleh juga gunakan lampu suluh untuk cari pantulan cahaya dari lensa kamera tersembunyi ni, kalau tak, tengok sekeliling, cuba tengok benda yang nampak pelik dan sebagainya.
#2. Simpan / Sorok Barang Berharga
Untuk lebih selamat, tanyakan sekiranya unit tersebut mempunyai peti simpanan atau tidak, jika ada, gunakan. Jika tak, suka aku cadangkan supaya bawak atau sorok je barang berharga macam laptop dan sebagainya bila korang tak ada dalam unit tersebut.
Kalau kereta pulak, pastikan korang tak tinggalkan barang berharga dalam kereta pada waktu malam, sebabnya korang tak tahu keselamatan kawasan tersebut macam mana, jadi untuk lebih selamat, bawak je masuk dalam rumah barang-barang berharga tu.
#3. Ronda 'Kawasan' Setempat
Biasanya ini jugak apa yang akan aku buat setiap kali check-in dekat mana-mana Airbnb. Pastikan semua pintu, tingkap dan sebagainya dalam keadaan baik, pastikan kedudukan kunci pendua sekiranya ada dan pastikan segala kemudahan berfungsi dengan baik.
Setidaknya, korang tak perlu hubungi pemilik di tengah malam kalau-kalau aircond tak boleh on dan sebagainya.
Kedua, korang kena 'belajar' juga cara nak keluar dari unit tersebut sekiranya berlaku kecemasan macam kebakaran dan sebagainya, kenalpasti mana laluan kecemasan, tangga kecemasan dan lain-lain. Cari kit pertolongan cemas atau alat pemadam api, sekiranya tak disediakan, korang tahu apa korang perlu lakukan sekiranya berlaku kecemasan.
Ketiga, korang kena perhatikan atau belajar selok belok kawasan berkenaan. Biasanya airbnb ni ada yang terletak dalam apartment, ada juga dalam kawasan perumahan, jadi apa kata lepas korang check-in tu, ambil masa sekejap untuk ronda-ronda sekeliling dan perhatikan kemudahan apa yang ada dan sebagainya.
#4. Kongsikan Lokasi
Sekiranya korang keluar atau travel secara solo, pastikan kongsi lokasi dengan sesiapa supaya mereka tahu keadaan korang. Boleh juga kongsikan alamat penginapan tersebut sebagai rujukan sekiranya ada apa-apa yang berlaku.
Ingat, sentiasa berhati-hati terutamanya kalau korang travel ke luar negara.
Pastikan tiada 'mata' yang memerhatikan gerak-geri korang, jangan biasakan keluar dan balik pada waktu yang sama. Ini untuk mengelakkan orang yang ada niat jahat tahu keberadaan kita.
Tips kalau korang keluar dari rumah, biarkan radio, tv atau kipas terbuka. Setidaknya, orang luar tahu atau syak ada penghuni kat dalam dan tak jadi nak buat benda tak elok.
Tapi, dari pengalaman aku sebelum-sebelum ni, aku sarankan carilah airbnb yang tak mencurigakan, kalau murah semacam tu, korang check balik review terkini. Tapi tak dinafikan, kadang-kadang tinggal dekat hotel pun akan berlaku kes-kes yang tak diingini, jadi pokoknya, sentiasalah berhati-hati semasa travel.
0 Comments