Advertisement

[DISKUSI] Pengharaman Rokok & Vape : Adakah Langkah Ini Melanggar Hak Individu?

Isu pelaksanaan generasi penamat (GEG) sebagaimana yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 menjadi topik perbualan hangat semenjak ianya mula dibentangkan di Parlimen. 


Menurut laporan Sinar Harian, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen walau bagaimanapun mengesyorkan kerajaan menangguhkan langkah tersebut selama 3 tahun bagi memastikan satu pelaksanaan yang berkesan memandangkan penguatkuasaan bukan hanya melibatkan satu agensi, malah pelbagai agensi yang memerlukan penyediaan satu rangka kerja penguatkuasaan antara kerajaan.


Perlu diketahui, langkah berani kerajaan ini bakal mengharamkan kesemua produk berasaskan tembakau termasuk alternatif bebas asap seperti vape dan lain-lain. 



Persoalannya, adakah dasar ini adalah terbaik dalam usaha memastikan Malaysia ke arah negara bebas asap rokok? Adakan ini satu strategi yang tidak akan menimbulkan pelbagai kemudaratan dan isu kepada masyarakat serta ekonomi negara?


Realitinya, pelaksanaan yang berkesan harus mempunyai satu jangkaan yang realistik. Adalah tidak rasional sekiranya kerajaan ‘pukul rata’ dan menganggap langkah drastik ini akan memastikan tiada perokok dibawah umur dan menghentikan potensi perokok pada masa akan datang. 


Ada beberapa persoalan disini terutamanya kesan kepada perokok dibawah umur semasa. 


Tidakkah tindakan pengharaman SEMUA produk tembakau serta alternatif ini akan mengabaikan mereka yang menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi 2019 berjumlah 4.8 juta dan 12.3% merupakan mereka yang berumur 15 hingga 19 tahun. 


Sumber : Remaja


Bukan untuk ‘menghalalkan’ perbuatan ini, namun 600,000 orang perokok bawah umur ini berpotensi untuk menerima manfaat sekiranya mereka diberikan pilihan dan boleh memilih pendekatan yang kurang ekstem. 


Tambahan pula, Seksyen 25 Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok membenarkan pegawai yang diberi kuasa (yang mempunyai kuasa seorang pegawai polis) untuk menjalankan penggeledahan dan penyitaan tanpa waran dan untuk mengakses maklumat yang direkodkan atau data berkomputer.


Perkara ini bukan sahaja telah menghindarkan perokok daripada beralih kepada alternatif untuk menolong mereka berhenti merokok, malah mengambil kesempatan melanggar privasi individu hanya sekadar mereka disyaki memiliki mana-mana produk tembakau mahupun rokok elektronik. 

Pengharaman merokok membawa perokok masa depan ke arah pasaran haram.

Malaysia telah disenaraikan sebagai ‘Pasaran Tembakau Haram Nombor Satu Dunia’ oleh Euromotor International dan menurut mereka, 6 daripada 10 batang rokok yang dijual adalah berstatus haram. 

Perlu ditekankan, pengharaman produk vape serta tembakau untuk mereka yang lahir pada dan selepas 2007 ini adalah satu bentuk diskriminasi walhal mereka yang lahir sebelum tahun tersebut bebas untuk membeli dan menggunakan rokok mahupun vape. 

Sumber :  Berita Harian

Lambakan rokok haram di pasaran hari ini jelas menunjukkan bahawa penguatkuasaan undang-undang semasa agak kurang berkesan dan untuk menambah undang-undang baharu dilihat agak sia-sia sekiranya undang-undang yang sedia ada pun sukar untuk dikuatkuasakan. 

Secara tak langsung, hal ini hanya akan mewujudkan aliran baharu bagi ‘pasaran gelap’ ini kerana pastinya golongan pengguna baharu akan wujud dalam kalangan mereka yang lahir selepas 2007.

Status Produk Alternatif Bebas Asap

Kerajaan perlu mengambil kira bahawa terdapat banyak kajian membuktikan bahawa mereka yang beralih ke produk alternatif bebas asap lebih cenderung untuk berhenti secara total.

Perlu ditekankan disini bahawa produk alternatif bebas asap ini nyata berbeza daripada rokok selain kesannya adalah kurang berbahaya berbanding rokok biasa. Sebagai contoh, bahan kimia yang memberikan kesan kepada orang sekeliling melalui asap. 

Sumber : CNBC

Ketagihan nikotin adalah penyebab dan punca utama mengapa perokok sukar untuk meninggalkan perbuatan negatif berkenaan. Perkara ini seharusnya diambil kira oleh kerajaan dan membenarkan produk alternatif digunakan bagi membantu golongan ini. 

Kajian demi kajian dilakukan terhadap punca utama bahaya rokok dan ianya terletak pada asap yang dihasilkan oleh pembakaran rokok itu sendiri dan bukannya nikotin. 

Adalah tidak wajar untuk kerajaan menyamakan asap rokok biasa dengan vape sedangkan ia merupakan ‘vapour’ atau wap air yang dihasilkan menerusi proses pemanasan cecair vape itu sendiri. 

Ambil Kira Dari Sudut Pandang Perokok

Bukan untuk menidakkan usaha murni pihak kerajaan, namun bagi menjalankan suatu undang-undang yang berkaitan dengan rokok perlu juga mengambil kira dari perspektif perokok itu sendiri. 

Sebagai contoh, Jepun menggunakan kaedah Pengurangan Kemudaratan Tembakau dengan membenarkan alternatif bebas asap rokok digunakan dan ianya membuahkan hasil. Semakin ramai perokok sudah pun beralih untuk menggunakan alternatif ini. 

Sumber : The BMJ

Pelaksanaan generasi penamat (GEG) di New Zealand pula menggunakan kaedah yang berbeza iaitu ia sudah mula dilaksanakan sejak 2011 lagi selain langkah-langkah kawalan seperti kenaikan harga rokok serta pengharaman vape kepada mereka yang dibawah 18 tahun. 

Perlu ditekankan bahawa GEG yang dilaksanakan New Zealand tidak dilakukan secara drastik tetapi secara berperingkat bermula dengan pengurangan bilangan peruncit rokok bermula 2024, mengurangkan kandungan nikotin dalam rokok bermula tahun 2025 dan secara beransur meningkatkan had umur penggunaan rokok yang sah. 

Salah satu contoh yang mungkin boleh diambil adalah langkah ‘menghalalkan’ penggunaan vape oleh kerajaan Filipina. Secara tak langsung ianya digunakan sebagai strategi untuk mengurangkan kegiatan merokok dan risiko kesihatan. 

Apa yang mereka lakukan adalah untuk mempunyai sekatan yang lebih ketat ke atas lokasi penjualan vape. Dalam masa yang sama, mereka juga mengenakan denda kepada penjual yang didapati menjual kepada mereka yang dibawah umur. 

Caranya, FOKUS kepada banteras pasaran rokok haram TERLEBIH DAHULU dan bukannya mengharamkan penjualan rokok dan vape secara tiba-tiba. 

Sebaiknya, kerajaan perlu mengambil langkah berperingkat untuk merealisasikan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau & Merokok 2022 dan menilai alternatif bebas asap rokok sebagai salah satu pilihan dan bukan mengenakan larangan sepenuhnya. 

Secara tidak langsung, ini akan membantu perokok sedia ada untuk berhenti dengan lebih mudah serta mengelakkan pasaran gelap sedia ada berkembang lebih besar pada masa akan datang. 

Post a Comment

0 Comments